Berfikir sebelum klik! Langkah berhati-hati itu boleh menyelamatkan diri anda daripada menjadi mangsa penipuan di dalam FaceBook, malah menunjukkan anda seorang yang cerdik dan pintar menggunakan aplikasi teknologi maklumat (IT).
Alam siber yang mengamalkan dasar langit terbuka dan tanpa garis sempadan tentunya menghidangkan pelbagai maklumat, sama ada berunsur positif yang memberikan manfaat atau negatif yang mendatangkan mudarat.
Ketika dunia didedahkan dengan jaringan Internet, Malaysia agak ke depan meneroka bidang ini, malah masyarakat kita juga lebih celik dalam penggunaannya jika dibandingkan dengan sesetengah rakyat di negara lain.
Perangkaan terkini menunjukkan lebih seramai 800,000 pengguna FaceBook di Malaysia ini iaitu satu jumlah yang cukup besar. Ini bermakna rata-rata di kalangan kita menggunakan kemudahan FaceBook itu sama ada untuk mengisi maklumat dan mengemas kini data peribadi, sekadar mengakses status kawan-kawan dan melayari ruangan sembang.
Namun, di sebalik kemudahan itu, ramai yang alpa dengan aspek keselamatan, bahkan ada sesetengahnya langsung tidak ambil tahu mengenainya kerana beranggapan ia isu teknologi dan teknikal yang selayaknya diletakkan pada bahu pakar IT saja.
Apakah persepsi itu tepat atau sebaliknya, terutama ketika kesempurnaan dunia bergantung kepada IT sepenuhnya, malah kitaran hidup kita sendiri dikelilingi dengan kehadiran pelbagai media seperti blog, webmail dan Twitter.
Sekiranya kita melihat secara ringkas dan tidak cuba memahami aspek keselamatan FaceBook itu dengan baik, sememangnya ia sekadar tertumpu kepada pemain dan pakar dalam teknologi terbabit saja. Pada waktu sekarang, isu keselamatan tidak hanya tertumpu pada aspek teknologi, malah meliputi isu sosial yang perlu ditangani bersama.
Ini menunjukkan semua orang harus prihatin dan memainkan peranan untuk mewujudkan satu suasana siber yang selamat, bukannya diletakkan tanggungjawab itu kepada sesetengah pihak seperti mereka yang pakar dalam bidang terbabit.
Keselamatan di FaceBook malah di alam siber pada asasnya tertumpu pada segala perkara yang membabitkan cara menentukan aset (maklumat) termasuk kerahsiaan, integriti, memastikan perkhidmatan sentiasa berterusan dan tidak diganggu. Secara umum penggunaan FaceBook adalah selamat dan tidak sepatutnya mendatangkan bahaya, namun pada waktu sama, risiko kita berada di dalam FaceBook bertambah disebabkan pengetahuan yang kurang atau sikap yang tidak ambil peduli.
Jika seseorang itu dapat mendisiplinkan diri dan menggunakan daya logik seperti sikap yang berhati-hati di alam nyata, kemungkinan besar apabila dia memasuki FaceBook, dia tidak ditipu dan tidak juga terdorong untuk menipu orang lain.
Tetapi yang kita bimbang ialah golongan remaja-remaja kerana mereka tidak tahu membuat penilaian antara yang baik dan buruk. Dan ada juga gelangan ibu-bapa yang mengalakan anak-anak yang di bawah umur untuk mengunakan FaceBook.
Di sinilah tunjuk ajar dan pengawasan ibu bapa, guru dan rakan sangat penting supaya mereka tidak terdedah kepada penipuan dan laman tidak sepatutnya di dalam FaceBook.
Orang ramai harus mempertingkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran mengenai penggunaan komputer, Internet dan FaceBook kerana dengan cara itu saja dapat membentengi diri daripada menjadi mangsa.
Pada zaman moden ini, untuk maju ke depan kita mesti maju dalam Internet kerana ia pintu kepada segala pengetahuan dan melaluinya jugalah, kita berpeluang menghayati keindahan dunia.
Kalau tidak kerana Internet, kita gagal mengikuti arus perkembangan dunia. Malah, gagal menguruskan kehidupan kita dengan lebih bersistem.
Tetapi di dalam FaceBook ada baik dan buruk. Inilah yang kita kena ingat dan kita kena didik nilai kita supaya tidak terdorong kepada yang buruk. Kita juga kena ada kesedaran dan peningkatan dalam sudut pengetahuan. Tanggungjawab keselamatan ini tanggungjawab bersama. Semua pihak harus berwaspada dalam penggunaan komputer kerana mutakhir ini, banyak berlaku kes kecurian identiti dan penipuan dalam talian dan FaceBook.
Sudah banyak kes yang berlaku, cuma mereka tidak melaporkannya dan yang dilaporkan kepada pihak berkuasa hanya sebahagian kecil.